AL QURAN KAREEM

AL QURAN KAREEM
BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU

Friday, December 13, 2013

SELANGOR DARUL EHSAN - NEGERI PAKATAN RAKYAT

Penduduk pangsapuri bakal nikmati air percuma

Salmiyah Harun, 31 Jul 2013

SHAH ALAM: Penduduk pangsapuri bakal menikmati air percuma apabila Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan Syabas meluluskan migrasi daripada meter pukal ke meter individu dengan persetujuan bersama minima 50 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, arahan itu dibuat untuk memudahkan prosea migrasi yang akan memastikan penduduk pangsapuri yang tidak mendapat air percuma melalui sama ada meter individu atau program Lapor dan Dapat menikmati 20 meter padu air percuma.

Katanya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menulis surat bertarikh 28 Jun 2013 kepada Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail memaklumkan arahan tersebut.

Sebelum ini, pihak Syabas telah menetapkan peratusan kebenaran pemilik yang perlu diperolehi adalah 100 peratus dan kemudiannya diturunkan kepada 85 peratus.

"Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah arahkan Syabas lulus migrasi dengan 'consent' minima 50 peratus," katanya dalam sidang.media bersama Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini.

Tambahnya, kerajaan negeri menerima aduan maaih terdapat pengsapuri yang tidak dapat melakukan migrasi walaupun telah mendapat 'consent' melebihi 50 peratus.

"Penduduk melalui JMB bolehlah menghubungi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di talian 03 5510 2122 agar migrasi dapat dilakukan," katanya.

Setakat ini, jelas Iskandar terdapat 30 kawasan yang telah mendapat 50 peratus persetujuan bersama tetapi belum mendapat kelulusan Syabas untuk migrasi.

Tegasnya, kerajaan negeri melalui LPHS telah menubuhkan jawatankuasa khas Permai untuk mengambil langkah-langkah bagi memastikan proses migrasi dapat dilaksanakan dengan segera.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

Selangor tangguh hantar pelajar ke Mesir

Salmiyah Harun, 31 Jul 2013

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menangguhkan penghantaran pelajar-pelajarnya ke Mesir sehingga keselamatan mereka terjamin.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor Dr Halimah Ali berkata, kerajaan negeri akan menempatkan pelajar-pelajar yang terlibat di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bagi pelajar yang mengambil jurusan agama.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri menawarkan tempat kepada pelajar jurusan perubatan bagi mengikuti pengajian Asasi Sains di Unisel.

"Kerajaan negeri ada MOU dengan beberapa universiti terkemuka misalnya di Indonesia, di mana mereka bersedia menerima pelajar kita," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan.

Jelasnya, kerajaan negeri meminta semua ibu bapa bertenang dan berdoa semoga situasi yang sedang berlaku di Mesir akan pulih dalam masa terdekat.

Tambahnya, penajaan mereka yang dipersetujui oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk ke Mesir telah diminta untuk meneruskan penajaan bagi mereka di penempatan baru.

"LZS akan terus menaja sekiranya mereka meneruskan pengajian di Unisel atau mendapat tawaran IPTA di Malaysia," katanya.

Jumlah keseluruhan pelajar Selangor yang belajar di Mesir sehingga akhir Julai 2013 seramai 1,457.

Bilangan pelajar yang pulang ke Malaysia seramai 250 manakala jumlah 1,207 pelajar masih berada di Mesir.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

DAP DAN KEPEMIMPINAN

Pemilihan semula: Kerisauan DAP jadi kenyataan

Harakahdaily, 31 Jul 2013


KUALA LUMPUR: Kerisauan terbesar DAP bahawa arahan supaya diadakan pemilihan semula yang diberikan kepada DAP adalah bermotifkan politik telah menjadi kenyataan berdasarkan surat ringkas yang dihantar oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke ibu pejabat DAP yang diterima pada jam 4:48 petang semalam.


"Ini merupakan tindakan pemangsaan politik serta salahguna kuasa oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak dapat disangkal memandangkan tidak ada alasan dan sebab diberikan untuk arahan ROS ini," kata Setiausaha Agungnya, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan, seperti di bawah.


Kerisauan terbesar DAP bahawa arahan supaya diadakan pemilihan semula yang diberikan kepada DAP adalah bermotifkan politik telah menjadi kenyataan berdasarkan surat ringkas yang dihantar oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke ibu pejabat DAP yang diterima pada jam 4:48 petang semalam (lihat lampiran). Ini merupakan tindakan pemangsaan politik serta salahguna kuasa oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak dapat disangkal memandangkan tidak ada alasan dan sebab diberikan untuk arahan ROS ini.

ROS sekadar menyatakan dalam suratnya bertarikh 30 Julai 2013 bahawa ia tidak berpuas hati dengan penerangan DAP, tanpa memberikan sebab-sebab dan alasan kenapa. DAP telah pun memberikan penjelasan serta kerjasama penuh kepada ROS. Semua dokumen sokongan turut diberikan bagi membuktikan bahawa pemilihan parti Disember tahun lalu telah dijalankan dengan baik, sah dan demokratik di mana semua perwakilan yang layak telah dimaklumkan tanpa sebarang perlakuan tidak jujur dan politik wang.

Satu-satunya kesilapan adalah dalam hal penyiaran keputusan oleh ketua pegawai pemilihan yang mengakibatkan jumlah undi yang salah diumumkan untuk beberapa calon dan hanya memberi kesan kepada satu calon yang berjaya. Kesilapan ini mengakibatkan seorang calon, Vincent Wu, yang telah diumumkan sebagai calon yang berjaya secara silap digantikan dengan calon yang sepatutnya, Zairil Khir Johari. Apabila kesilapan ini disedari, ia terus diperakui dan diperbetulkan oleh pihak parti secara sukarela tanpa didedahkan oleh mana-mana pihak luar. Pihak parti sekarang sedang dihukum kerana enggan menutup kesilapan, dan kerana berlaku jujur dan berkata benar.

Ahmad Zahid Hamidi mengamalkan double-standard apabila beliau tidak pun menuntut diadakan pilihanraya umum sekali lagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya tidak pun membuat sebarang pembetulan tentang dakwat kekal yang boleh tanggal segera, tetapi mahu DAP melakukan pemilihan semula walaupun DAP telah membetulkan kesilapan dalam keputusan pemilihan.

Surat yang begitu singkat daripada ROS memberikan arahan tersebut tanpa memberikan sebab mahupun memberikan bukti yang menyokong keputusan ROS itu sangat tidak profesional, serta merupakan salahguna kuasa secara terang-terangan yang mengakibatkan ketidakadilan terhadap DAP. Di manakah keadilan apabila sebuah pertubuhan mahupun individu dihukum tanpa dimaklumkan sebab dan ditunjukkan apa-apa bukti terhadapnya? Jika begitu, semua orang yang disabitkan kesalahan hanya akan mengetahui hukuman denda atau penjara terhadapnya tanpa mengetahui sebab kenapa dia dihukum.

Rakyat Malaysia kini hanya boleh membuat kesimpulan bahawa ROS telah pun membuat keputusan politik secara subjektif yang memihak BN untuk terlebih dahulu menghakimi isu tersebut bagi mengkhianati DAP, tanpa peduli akan fakta dan peraturan. Hakikat bahawa ini adalah suatu keputusan politik ditekankan lagi dengan pengumumuman pra-matang yang dibuat oleh Datuk Ahmad Zahid dua hari lalu sewaktu majlis berbuka puasa ROS di Putrajaya di saat pihak ROS belum menyediakan surat tersebut.

Apabila Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke melawat ibu pejabat ROS di Putrajaya pagi semalam, beliau dimaklumkan bahawa surat tersebut masih belum siap untuk dihantar. Jelas sekali terdapat niat jahat antara Ahmad Zahid dan ROS terhadap DAP. Keputusan terkini oleh ROS ini akan dibincangkan sepenuhnya dalam mesyuarat tergempar CEC di ibu pejabat DAP malam ini.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

KES - KES MAHKAMAH SYARIAH VS SIVIL

Kes batal sijil perakuan Islam ke Mahkamah Rayuan

Aslani M, 31 Jul 2013

KOTA BHARU: Muhammad Riduan Abdullah, 44 keliru terdapat dua perintah terhadap kes hak penjagaan anaknya selepas beliau menganut Islam pada Mac 2009.

Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada April 2009 memberikan hak penjagaan tiga anaknya kepada beliau.

Sebaliknya 11 Mac 2010 Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh pula memutuskan hak penjagaan tiga beradik itu diserahkan kepada bekas isterinya, M Indira Ghandi, 38.

Riduan atau nama asalnya K Patmanathan selepas menganut Islam pada 11 Mac 2009 turut mengislamkan anaknya Ummu Habibah (Prasana Diksa), 5; Abu Bakar (Karan Dinish), 15 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 16.

Ketika itu mereka di bawah umur iaitu Habibah 11 bulan, Abu Bakar (10 tahun) dan Salamah (11 tahun).

Indira sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam tiga anaknya pada 25 Oktober 2009.

Dan pada 26 Julai lalu Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membatalkan sijil perakuan pengislaman ketiga-tiga anak Riduan.

Pada April 2009 mereka memperolehi sijil perakauan pengislaman yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak.

Difahamkan hakim yang mengendalikan kes berkenaan bertukar ganti sehingga lapan orang, di mana hakim sebelum ini menarik diri termasuk Pesuruhjaya Kehakiman Tarmizi Abd Rahman.

Kes pasangan berkenaan pernah mendapat perhatian umum dan kabinet pada April 2009 memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Riduan berkata, anak bongsunya berada di bawah jagaannya sejak 2009 dan kini membesar dalam suasana Islam.

“Cuba bayangkan sekiranya saya menyerah Habibah kepada bekas isteri yang beragama Hindu, sudah tentu agamanya akan tergadai.

“Lagi pun anak bongsu saya sudah banyak belajar agama sejak berpindah ke Kelantan. Sedangkan dua lagi anak saya masih bersama Indra,” ujarnya di sini.

Oleh itu beliau melalui peguam akan memfailkan kes tersebut ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Menurutnya juga kes itu melibat kos agak tinggi sehingga RM60,000. Orang ramai juga boleh membantu dengan menghulur sumbangan kepada Muhamad Riduan Abdullah di akaun Bank Islam 03018021143270 atau telefon peguam Mustapa – 09 744 6736.

Beliau turut berharap umat Islam berdoa dan solat hajat sempena Ramadan sekarang bagi mempertahankan keislaman anaknya, dua lagi anaknya dapat dikembalikan kepadanya.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

Wednesday, July 31, 2013

UCAPAN IDULFITRI 1434H DARIPADA PELAJAR-PELAJAR DI LUAR NEGARA





Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada abah Safian Bin Jamhor, mak Hasanah Binti Abd Latib dan adik-adik yang berada di Segamat, sanak-saudara, kawan-kawan, dan tenaga pengajar SMK Bandar Putra Segamat, MRSM Mersing, MSU, penaja MARA, dan kepada seluruh umat Islam.. Ikhlas daripada Nurul Liyana Safian, pelajar perubatan tahun 4, MSU-International Medical School (IMS) Bangalore Campus, India.




Buat semua ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan...nun di tanahair sana! Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Semoga Hari Raya disambut dengan gembira, doakan kami di perantauan ini. InsyaAllah dapat bersama pada raya tahun hadapan!

Hamdan Mohamad
PhD Student
University of Aberdeen, Scotland

Sumber HD - 31-7-2013

Nur Hamizah Zaini

Bad Aibling, German, 31 Jul 2013




Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin diucapkan kepada Mak, Abah dan keluarga saya di Lot 48 Kg Pasir Baru, Kuala Lumpur, my Bff, Siti Hajar Amir @Jaja dan semua kawan-kawan yang mengenali diri ini. Tak lupa kepada saudara- mara yang berada di Johor. Semoga raya kali ini menjadi sangat meriah dengan family gathering besar-besaran mengumpulkan sanak-saudara di Parit Hailam, Batu Pahat.

Semoga Mak dan Abah selamat menjalani ibadah umrah dengan tenang dan semoga K.Adah & Family selamat tiba dari Dubai untuk beraya bersama-sama. Kepada adikku, Nurul Ain, semoga persiapan bertunang berjalan lancar.

Nur Hamizah Zaini
Bad Aibling, German.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

PETISYEN PILIHANRAYA PRU13

PAS persoal pengendalian petisyen pilihan raya

Muhammad Faizal, 31 Jul 2013


KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen dikemukakan oleh PAS dengan menggunakan alasan dan denda yang sama.

PAS memfailkan keseluruhan 16 petisyen di seluruh negara dan 11 darinya telah ditolak oleh mahkamah.

Tiga lagi belum disebut di mahkamah adalah bagi kawasan Nusa Jaya dan Gambir di Johor, Kelawang, Negeri Sembilan sementara dua kawasan di Terengganu Hulu Besut dan Kuala Berang keputusan akan diperolehi esok.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah yang dilihat sebagai membelakangkan proses demokrasi.

"Kita kesal cara pengendalian petisyen yang berjalan di mahkamah, 16 petisyen yang dikemukakan oleh PAS dan 11 darinya telah ditolak dengan alasan serta denda yang sama.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata kalau tidak puas hati dengan keputusan boleh bawa ke mahkamah untuk keadilan, tetapi bila dibawa kita melihat ia tidak dikendalikan sepertimana yang kita harapkan," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Malah katanya lagi, keputusan tersebut juga dilihat sebagai ada arahan dari pihak tertentu.

"Kita juga melihat keputusan tersebut seperti mendapat arahan dari pihak tertentu kerana alasan sama termasuk juga kos yang diarahkan juga amat luar biasa," sambung beliau.

Tutup penyelewengan?

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu keputusan tersebut seperti sebagai usaha menggunakan mahkamah untuk menutup segala penyelewengan yang berlaku pada pilihan raya yang lepas.

Katanya, kerajaan tidak boleh salahkan sesiapa jika rakyat mempunyai satu persepsi negetif terhadap kredibiliti mahkamah yang dilihat tidak memihak kepada pihak yang mahukan keadilan mengikut saluran demokrasi yang betul.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub melahirkan kebimbangan tindakan tersebut akan memberi ruang kepada rakyat untuk menuntut keadilan mengikut cara mereka sendiri.

"Kita tuntut keadilan melalui proses demokrasi yang betul tetapi kerajaan menutup ruang tersebut.

"Saya bimbang dengan keputusan ini rakyat akan bangkit menuntut keadilan mengikut saluruan mereka sendiri, kita tidak mahu negara ini menjadi seperti negara-negara yang lain," kata Salahuddin.

Sementara itu PAS akan menghantar satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat berhubungan kedudukan Pengerusi SPR agar perlantikannya dikaji balik serta pendedahan penyelewengan yang berlaku di dalam pilihanraya yang lepas.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli, Peguam Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang), Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja).

Pimpinan PAS : http://www.youtube.com/watch?v=_qGXfk7aDig&feature=youtu.be

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

IDULFITRI 1434H

Hari raya menguji ketakwaan umat Islam

Ahmad Baei Jaafar, 31 Jul 2013

Setelah kita berhempas pulas bermujahadah menahan nafsu sepanjang bulan Ramadan, kini sampai masanya kita bersuka ria menyambut hari kemenangan yang dinamakan Aidilfitri. Tarikh 1 Syawal tetap menjegah kita tanpa gagal sama ada kita berpuasa atau pun tidak. Namun Aidilfitri datang secara khusus untuk meraikan umat Islam melakukan puasa sepenuhnya.

Walau bagaimanapun mereka tidak melakukan puasa sepenuhnya termasuk kanak-kanak boleh turut menyambut hari kemenangan ini, malah dalam realitinya merekalah orang yang paling gembira dengan kedatangan Syawal ini. Yalah, bagi kanak-kanak mereka akan mendapat duit raya, malah sesetengahnya mendapat beratus ringgit juga. Mana kala golongan yang puasanya kurang sempurna berasa gembira kerana tekanan lapar sudah berakhir dan kini boleh membalas dendam, makan sepuasnya. Selain itu, mereka boleh berhibur semahunya.

Sebaliknya mereka yang mampu berpuasa dengan sebaiknya tidak sebegitu ghairah menyambutnya. Mereka selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri akan berziarah sanak saudara. Selepas itu mereka akan menyambung puasa sunat Syawal pada 2 Syawal. Barangkali mereka inilah golongan yang akan beroleh takwa. Persoalannya di mana kedudukan anda?

Siapa yang layak menyambut
Sememangnya orang yang berpuasa diharapkan mencapai tahap takwa seperti yang difirmankan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183; “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Jadi, bagaimana dengan puasa anda, mencapai takwa atau tidak? Sudahkah anda berpuasa dengan penuh rasa iman dan takwa? Ya, mereka yang beriman dan bertakwa berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum dan tidak melakukan perkara yang membatal puasa, tetapi turut menjaga lidah, tangan, kaki, mata dan telinga daripada melakukan dosa kecil apatah lagi besar.

Selain itu mereka yang berjaya menambah pahala sunat seperti solat sunat tarawih yang sempurna, membaca al-Quran dan memberi makan orang berbuka puasa dengan seikhlasnya berpeluang menambahkan mutu Ramadannya. Ibadah ini merupakan bonus untuk menjadikan mereka bertakwa seperti yang diharapkan Allah dalam ayat di atas.

Mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dan segala amalan sunat dalam bulan Ramadan tentu Allah melihatnya dengan penuh rahmat. Apa tidaknya, mereka ini boleh berakhlak baik dengan manusia apatah lagi dengan Allah. Mereka juga boleh berakhlak dengan haiwan dan alam sekitar. Jika inilah hasil daripada ibadah puasanya, tidak syak lagi mereka ini adalah orang yang paling layak untuk menyambut Aidilfitri.

Sejarah Rasulullah dan Sahabat mencatatkan bahawa mereka menyambut hari raya secara sederhana malah mereka bersedih dengan pemergian Ramadan. Oleh sebab itu mereka akan melakukan segala amalan sunat sebaik sahaja diisytiharkan sudah masuk satu syawal. Mereka mulakan dengan takbir dan tasbih raya.

Seterusnya pada siang hari diulang lagi amalan takbir sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan imam. Sebelum itu sebelum solat subuh mereka akan mandi sunat hari raya. Dan selepas solat subuh mereka akan makan sebagai tanda tidak berpuasa lagi.

Lazimnya selepas solat Aidulfitri mereka akan melakukan amalan ziarah rumah ke rumah, bermula dengan jiran terdekat dan kemudiannya menziarahi sanak saudara terdekat. Mereka rapatkan hubungan terutama silaturrahim dalam kalangan kaum keluarga.

Siapa yang dihalang menyambut

Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk menyambut hari raya ini. Malah orang bukan Islam juga boleh bersama-sama orang Islam meraikannya. Oleh sebab itu tidak salahlah orang yang gagal berpuasa sebagaimana yang sewajarnya, menyembut hari raya seperti orang lain. Hal ini kerana mereka adalah golongan yang berpuasa kategori orang awam.

Tetapi lazimnya kita dapati mereka ini menyambut hari raya bak kata ibarat “lebih sudu dari kuah”. Sambutan mereka lebih hebat daripada orang yang layak dalam kalangan golongan khawas dan khususul khawas. Mereka menyambut secara melampau dalam berhibur. Malah hiburan adalah keutamaan mereka, sedangkan amalan ziarah sudah dikesampingkan.

Sepatutnya mereka dalam kategori awam ini menyambut Syawal sebagai meraikan golongan yang berjaya termasuk kanak-kanak. Mereka sepatutnya bertemu orang yang berjaya dan mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan. Tetapi bagaimana kita hendak kenal mereka yang berjaya kerana lazimnya orang yang berjaya pun tidak mahu mengaku berjaya.

Maka atas semangat itu Islam menganjurkan amalan menyambut Syawal dengan mengucapkan tahniah dan doa kepada orang yang kita temui. Dengan saling mengucap tahniah yang sekali gus berdoa akan kejayaan orang lain, diharapkan kita semua beroleh kejayaan. Kalaupun tidak sampai ke tahap takwa, setidak-tidaknya kita menjadi orang yang redha dengan keputusan Allah.

Pada masa yang sama, kita digalakkan bersedekah kepada anak-anak semoga dengan sumbangan ikhlas itu Allah ampun dosa kita dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Kita tidak tahu sejauh mana amalan kita diterima Allah, tetapi kalau kanak-kanak yang suci hati turut mendoakan kita tentu sedikit sebanyak ada penambahan kebaikan untuk kita.

Amalan Sunnah


Rata-rata umat Islam di sini telah melakukan atur cara di atas tetapi sejauh mana mereka dapat melakukannya sebagai yang dianjurkan oleh Islam. Berapa ramai umat Islam yang bangun melakukan mandi sunat Aidilfitri? Wanita yang uzur juga tidak harus ketinggalan untuk melakukan mandi sunat. Kalau begitu semua umat Islam patut melakukannya tanpa gagal.

Begitu juga dengan amalan berkunjung ke tempat solat Aidilfitri, wanita yang uzur masih ada tempat dan ruang untuk sama-sama mendengar khutbah raya. Kalau semua umat Islam datang lebih awal untuk mengambil tempat yang sesuai tentulah besar ganjaran untuk mereka. Wanita uzur walaupun tidak boleh solat mereka boleh duduk di tempat khas di luar masjid untuk sama-sama mendengar khutbah hari raya.

Tetapi saya tidak pasti, berapa buah masjidkah yang menyediakan tempat khas untuk wanita uzur? Atau adakah wanita uzur sendiri tidak berminat untuk mendengar khutbah, lalu tempat mereka tidak disediakan? Realitinya wanita yang uzur lebih selesa berada di dalam rumah semasa orang lain bersolat hari raya. Alangkah ruginya mereka kerana tidak mendapat nasihat yang baik pada pagi hari raya.

Sebenarnya solat sunat hari raya dan khutbahnya amat besar faedahnya. Selain solat berjemaah itu mendapat pahala berlipat kali ganda, dapat pula umat Islam berkenal mesra antara satu sama lain. Ya, kadang-kadang jiran rumah pun kita tidak berpeluang bercakap, maka pada hari ini kita berpeluang berbual sambil mengucap tahniah atas kejayaan menjalankan ibadah puasa.

Namun tidak dinafikan, ada umat Islam yang walaupun berkumpul ramai-ramai, mereka tidak mahu mengambil perluang berkenalan dengan rakan solat di sebelahnya. Adakah mereka malu untuk berkenalan atau mereka sombong kerana menilai orang tidak layak berkenalan dengannya. Kalau itu yang difikirkan bagaimana kita boleh berjaya dalam menempuh ujian Allah. Boleh jadi inilah tanda awal kita gagal melaksanakan ibadah puasa.

Sebaiknya sewaktu bersalaman kita memperlawa mereka ke rumah anda. Inilah amalan orang soleh sejak zaman berzaman. Mereka akan berziarah jiran terdekat selain sanak saudara dengan saling mengucap tahniah kerana berjaya memenuhi ibadah puasa. Cuma dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering ucapkan “Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” kepada orang yang kita temui. Semoga ucapan itu dinilai sebagai doa juga.

Bagi menambah baik ucapan itu bolehlah juga kita susuli dengan ucapan; “tahniah anda berjaya beroleh takwa, tahniah anda berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna" dan yang seumpamanya. Bagi masyarakat Arab mereka sering ucapkan ucapan yang bermaksud, “Semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik.”

Sebenarnya pada zaman Rasulullah ada satu ucapan yang turut dipakai, ini berdasarkan sebuah hadis daripada Wasilah bin al-Asqa’ katanya, “Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya lalu aku berkata: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maka baginda berkata: ya تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maksudnya: “Semoga Allah terima amalan daripada kami dan kamu juga.”

Amalan yang diucapkan oleh sahabat ini untuk Rasulullah adalah untuk menunjukkan adab memberi ucapan tahniah. Selain itu apabila baginda membalas dengan ucapan yang sama menunjukkan ucapan itu boleh digunakan oleh umat Islam.

Berdasarkan itu ucapan sebegini masih releven diucapkan sewaktu kita berziarah ke rumah orang yang kita hormati juga kawan-kawan yang kita sayangi. Semoga amalan ini juga boleh dijadikan hiburan buat kita sepanjang berhari raya.

http://baei.blogspot.com
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

MUTIARA RAMADHAN 1434H

Lailatul Qadar: Jangan lepaskannya

Zaharuddin Abd Rahman, 31 Jul 2013

Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr. Firman Allah SWT, eretinya:

"Malam al-Qadar lebih baik dari seribu bulan."
(Surah al-Qadr : ayat 2).

Pada malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith, ertinya:

“Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain."
(Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut, ertinya:

"Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)."
( Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Dalam hadis lain, ertinya:

"Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)."
( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktunya

Malam al-Qadar Indah Bagi Orang Beriman

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadis-hadis yang sahih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah negara adalah berlainan. Di barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku pada zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat dalam kalangan para ulama, ia berlaku pada 10 malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadis Nabi menyebut, ertinya:

"Carilah ia (malam al-qadar) di 10 malam terakhir dari bulan ramadhan."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu jika negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi? Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya.

http://www.zaharuddin.net/
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Sumber HD - 31-7-2013

TAZKIRAH RAMADHAN :

Ustaz Hamzah Ngah :  http://www.youtube.com/watch?v=SQr9z3p-17s&feature=youtu.be