Setelah kita berhempas pulas bermujahadah menahan nafsu sepanjang bulan Ramadan, kini sampai masanya kita bersuka ria menyambut hari kemenangan yang dinamakan Aidilfitri. Tarikh 1 Syawal tetap menjegah kita tanpa gagal sama ada kita berpuasa atau pun tidak. Namun Aidilfitri datang secara khusus untuk meraikan umat Islam melakukan puasa sepenuhnya.
Walau bagaimanapun mereka tidak melakukan puasa sepenuhnya termasuk kanak-kanak boleh turut menyambut hari kemenangan ini, malah dalam realitinya merekalah orang yang paling gembira dengan kedatangan Syawal ini. Yalah, bagi kanak-kanak mereka akan mendapat duit raya, malah sesetengahnya mendapat beratus ringgit juga. Mana kala golongan yang puasanya kurang sempurna berasa gembira kerana tekanan lapar sudah berakhir dan kini boleh membalas dendam, makan sepuasnya. Selain itu, mereka boleh berhibur semahunya.
Sebaliknya mereka yang mampu berpuasa dengan sebaiknya tidak sebegitu ghairah menyambutnya. Mereka selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri akan berziarah sanak saudara. Selepas itu mereka akan menyambung puasa sunat Syawal pada 2 Syawal. Barangkali mereka inilah golongan yang akan beroleh takwa. Persoalannya di mana kedudukan anda?
Siapa yang layak menyambut
Sememangnya orang yang berpuasa diharapkan mencapai tahap takwa seperti yang difirmankan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183; “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
Jadi, bagaimana dengan puasa anda, mencapai takwa atau tidak? Sudahkah anda berpuasa dengan penuh rasa iman dan takwa? Ya, mereka yang beriman dan bertakwa berpuasa bukan sekadar tidak makan dan minum dan tidak melakukan perkara yang membatal puasa, tetapi turut menjaga lidah, tangan, kaki, mata dan telinga daripada melakukan dosa kecil apatah lagi besar.
Selain itu mereka yang berjaya menambah pahala sunat seperti solat sunat tarawih yang sempurna, membaca al-Quran dan memberi makan orang berbuka puasa dengan seikhlasnya berpeluang menambahkan mutu Ramadannya. Ibadah ini merupakan bonus untuk menjadikan mereka bertakwa seperti yang diharapkan Allah dalam ayat di atas.
Mereka yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dan segala amalan sunat dalam bulan Ramadan tentu Allah melihatnya dengan penuh rahmat. Apa tidaknya, mereka ini boleh berakhlak baik dengan manusia apatah lagi dengan Allah. Mereka juga boleh berakhlak dengan haiwan dan alam sekitar. Jika inilah hasil daripada ibadah puasanya, tidak syak lagi mereka ini adalah orang yang paling layak untuk menyambut Aidilfitri.
Sejarah Rasulullah dan Sahabat mencatatkan bahawa mereka menyambut hari raya secara sederhana malah mereka bersedih dengan pemergian Ramadan. Oleh sebab itu mereka akan melakukan segala amalan sunat sebaik sahaja diisytiharkan sudah masuk satu syawal. Mereka mulakan dengan takbir dan tasbih raya.
Seterusnya pada siang hari diulang lagi amalan takbir sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan imam. Sebelum itu sebelum solat subuh mereka akan mandi sunat hari raya. Dan selepas solat subuh mereka akan makan sebagai tanda tidak berpuasa lagi.
Lazimnya selepas solat Aidulfitri mereka akan melakukan amalan ziarah rumah ke rumah, bermula dengan jiran terdekat dan kemudiannya menziarahi sanak saudara terdekat. Mereka rapatkan hubungan terutama silaturrahim dalam kalangan kaum keluarga.
Siapa yang dihalang menyambut
Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk menyambut hari raya ini. Malah orang bukan Islam juga boleh bersama-sama orang Islam meraikannya. Oleh sebab itu tidak salahlah orang yang gagal berpuasa sebagaimana yang sewajarnya, menyembut hari raya seperti orang lain. Hal ini kerana mereka adalah golongan yang berpuasa kategori orang awam.
Tetapi lazimnya kita dapati mereka ini menyambut hari raya bak kata ibarat “lebih sudu dari kuah”. Sambutan mereka lebih hebat daripada orang yang layak dalam kalangan golongan khawas dan khususul khawas. Mereka menyambut secara melampau dalam berhibur. Malah hiburan adalah keutamaan mereka, sedangkan amalan ziarah sudah dikesampingkan.
Sepatutnya mereka dalam kategori awam ini menyambut Syawal sebagai meraikan golongan yang berjaya termasuk kanak-kanak. Mereka sepatutnya bertemu orang yang berjaya dan mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan. Tetapi bagaimana kita hendak kenal mereka yang berjaya kerana lazimnya orang yang berjaya pun tidak mahu mengaku berjaya.
Maka atas semangat itu Islam menganjurkan amalan menyambut Syawal dengan mengucapkan tahniah dan doa kepada orang yang kita temui. Dengan saling mengucap tahniah yang sekali gus berdoa akan kejayaan orang lain, diharapkan kita semua beroleh kejayaan. Kalaupun tidak sampai ke tahap takwa, setidak-tidaknya kita menjadi orang yang redha dengan keputusan Allah.
Pada masa yang sama, kita digalakkan bersedekah kepada anak-anak semoga dengan sumbangan ikhlas itu Allah ampun dosa kita dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Kita tidak tahu sejauh mana amalan kita diterima Allah, tetapi kalau kanak-kanak yang suci hati turut mendoakan kita tentu sedikit sebanyak ada penambahan kebaikan untuk kita.
Amalan Sunnah
Rata-rata umat Islam di sini telah melakukan atur cara di atas tetapi sejauh mana mereka dapat melakukannya sebagai yang dianjurkan oleh Islam. Berapa ramai umat Islam yang bangun melakukan mandi sunat Aidilfitri? Wanita yang uzur juga tidak harus ketinggalan untuk melakukan mandi sunat. Kalau begitu semua umat Islam patut melakukannya tanpa gagal.
Begitu juga dengan amalan berkunjung ke tempat solat Aidilfitri, wanita yang uzur masih ada tempat dan ruang untuk sama-sama mendengar khutbah raya. Kalau semua umat Islam datang lebih awal untuk mengambil tempat yang sesuai tentulah besar ganjaran untuk mereka. Wanita uzur walaupun tidak boleh solat mereka boleh duduk di tempat khas di luar masjid untuk sama-sama mendengar khutbah hari raya.
Tetapi saya tidak pasti, berapa buah masjidkah yang menyediakan tempat khas untuk wanita uzur? Atau adakah wanita uzur sendiri tidak berminat untuk mendengar khutbah, lalu tempat mereka tidak disediakan? Realitinya wanita yang uzur lebih selesa berada di dalam rumah semasa orang lain bersolat hari raya. Alangkah ruginya mereka kerana tidak mendapat nasihat yang baik pada pagi hari raya.
Sebenarnya solat sunat hari raya dan khutbahnya amat besar faedahnya. Selain solat berjemaah itu mendapat pahala berlipat kali ganda, dapat pula umat Islam berkenal mesra antara satu sama lain. Ya, kadang-kadang jiran rumah pun kita tidak berpeluang bercakap, maka pada hari ini kita berpeluang berbual sambil mengucap tahniah atas kejayaan menjalankan ibadah puasa.
Namun tidak dinafikan, ada umat Islam yang walaupun berkumpul ramai-ramai, mereka tidak mahu mengambil perluang berkenalan dengan rakan solat di sebelahnya. Adakah mereka malu untuk berkenalan atau mereka sombong kerana menilai orang tidak layak berkenalan dengannya. Kalau itu yang difikirkan bagaimana kita boleh berjaya dalam menempuh ujian Allah. Boleh jadi inilah tanda awal kita gagal melaksanakan ibadah puasa.
Sebaiknya sewaktu bersalaman kita memperlawa mereka ke rumah anda. Inilah amalan orang soleh sejak zaman berzaman. Mereka akan berziarah jiran terdekat selain sanak saudara dengan saling mengucap tahniah kerana berjaya memenuhi ibadah puasa. Cuma dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering ucapkan
“Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin” kepada orang yang kita temui. Semoga ucapan itu dinilai sebagai doa juga.
Bagi menambah baik ucapan itu bolehlah juga kita susuli dengan ucapan;
“tahniah anda berjaya beroleh takwa, tahniah anda berjaya melaksanakan puasa dengan sempurna" dan yang seumpamanya. Bagi masyarakat Arab mereka sering ucapkan ucapan yang bermaksud,
“Semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik.”
Sebenarnya pada zaman Rasulullah ada satu ucapan yang turut dipakai, ini berdasarkan sebuah hadis daripada Wasilah bin al-Asqa’ katanya, “Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya lalu aku berkata:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maka baginda berkata: ya
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ maksudnya: “Semoga Allah terima amalan daripada kami dan kamu juga.”
Amalan yang diucapkan oleh sahabat ini untuk Rasulullah adalah untuk menunjukkan adab memberi ucapan tahniah. Selain itu apabila baginda membalas dengan ucapan yang sama menunjukkan ucapan itu boleh digunakan oleh umat Islam.
Berdasarkan itu ucapan sebegini masih releven diucapkan sewaktu kita berziarah ke rumah orang yang kita hormati juga kawan-kawan yang kita sayangi. Semoga amalan ini juga boleh dijadikan hiburan buat kita sepanjang berhari raya.
http://baei.blogspot.com