AL QURAN KAREEM

AL QURAN KAREEM
BACALAH DENGAN NAMA TUHANMU

Thursday, November 4, 2010

PEJABAT AGUNG PAS TERBAKAR

Mesyuarat AJK PAS Pusat 14 Nov dipindah

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 10 Nov: Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadualkan diadakan di tingkat 5 bangunan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, 14 November ini dipindahkan ke tempat lain.


Dato Mustafa Ali, Setiausaha agung PAS

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali menjelaskan, perubahan tempat mesyuarat tersebut terpaksa dilakukan kerana lif di bangunan pejabat itu tidak dapat digunakan, ekoran kebakaran yang berlaku di tingkat 1 pada 4 November lalu dan kerja-kerja pembaikan yang sedang berjalan sekarang.


Bagaimanapun, mesyuarat tersebut tetap akan diadakan juga pada 14 November ini, tetapi di tempat lain yang masih belum ditentukan dan akan dimaklumkan kemudian oleh pihaknya kepada AJK-AJK terbabit.


Bangunan Pejabat Agung PAS itu mula beroperasi pada tahun 2007. Bangunan itu menempatkan pejabat pentadbiran yang terletak di tingkat 1, surau di tingkat mezzanine, kedai serbaneka di tingkat bawah serta bilik mesyuarat utama di tingkat 5.


Tingkat 1 bangunan tersebut yang menempatkan bahagian pentadbiran mengalami kebakaran kecil 4 November lalu yang berpunca dari kabel elektrik masuk.


Pada sidang media dalamannya semalan, Mustaffa menjelaskan, operasi pentadbiran Pejabat Agung PAS dibekukan sehingga dua minggu sementara selesai kerja-kerja pembaikan yang bermula semalam.


“Kerosakan yang berlaku akibat kebakaran itu bukan major, tetapi kerja-kerja pembaikan mengambil masa agak lama sehingga paling kurang sehingga Raya Korban.


“Oleh itu, kakitangan Pejabat Agung PAS tidak diarahkan bekerja macam biasa. Mereka dikira bercuti dan on call jika ada keperluan-keperluan tertentu sepanjang tempoh pembaikan itu berlaku,” katanya.


Menurut beliau, untuk urusan harian di Pejabat Agung, kakitangan tidak perlu datang ke pejabat nacam biasa, tetapi menunggu maklumat baru yang akan dibuat oleh pihaknya apabila kerja-kerja pembaikan itu telah selesai dijalankan.


Sepanjang tempoh percutian itu, pihak-pihak yang ingin berurusan dengan kakitangan-kakitangan terbabit bagi menyelesaikan sebarang urusan boleh terus berhubung dengan individu berkenaan dengan menggunakan telefon bimbit.







KEBAKARAN PEJABAT AGUNG PAS BERPUNCA DARIPADA KELALAIAN MANUSIA:

(Berita dipetik dari Malaysiakini)

Anggota Bomba dan Penyelamat tiba memadam kebakaran.

 Tingkat 1 Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dilaporkan terbakar sehingga ke tingkat bawahnya.

Menurut HarakahDaily, kebakaran itu bagaimanapun, tidak merebak ke seluruh bangunan dan berjaya dikawal oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.
Ketika ini, kebanyakan petugas dan kakitangan pejabat PAS dilaporkan berada di Galas, Gua Musang dan juga di Batu Sapi, Sandakan untuk pengundian pilihan raya kecil hari ini.
Menurut seorang kakitangan yang tidak mahu dikenali, kebakaran mula dikesan pada jam 8.30 pagi ini apabila para petugas pejabat itu mula melihat asap berkepul-kepul keluar dari tingkat 1 yang menempatkan bahagian pentadbiran bangunan PAS itu.
Kebakaran itu kemudiannya mula merebak ke bawah sehingga ke tingkat bawah.
Selepas bomba sampai, semua kakitangan pejabat tidak dibenarkan masuk ke bangunan itu lagi.
Cerek elektrik
Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari satu cerek elektrik yang terlupa ditutup.
Bangunan Pejabat Agung PAS itu mula diduduki pada tahun 2007.
Bangunan itu secara asasnya dibeli pada harga RM6.1 juta yang asalnya dimiliki oleh Kwong Yik Bank dan kemudiannya dibeli oleh 'merger bank' iaitu Rashid Hussin Bank (RHB) Berhad.
Oleh kerana bangunan itu (selepas dimiliki oleh RHB) adalah bangunan pangkalan data bagi bank tersebut, struktur pejabatnya terpaksa diubah selepas PAS memilikinya.
Akhirnya selepas pengubahsuaian membabitkan kos bernilai RM1.9 juta kos keseluruhan mencecah RM8 juta.
Bangunan ibu pejabat PAS itu menempatkan pejabat pentadbiran yang terletak di tingkat 1, surau di tingkat menzanie, kedai serbaneka di tingkat bawah serta bilik mesyuarat utama di tingkat 5.
Sementara itu, Bernama melaporkan Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata asap tebal itu berpunca daripada kotak suis di tingkat satu yang terbakar.
Bomba menerima panggilan pada 8.41 pagi dan dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit dan Sentul dengan 16 anggota dihantar ke tempat kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian didapati ruang pejabat itu telah dipenuhi asap, bagaimanapun kebakaran tidak begitu teruk," katanya.

(Dipetik dari Harakahdaily)

Operasi Pejabat Agung PAS terganggu beberapa hari

KUALA LUMPUR 4 Nov: Operasi dan sebarang kerja rasmi di Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur tidak dapat dijalankan seperti biasa hari ini malah dijangka terganggu beberapa hari, ekoran kebakaran yang berlaku di tingkat 1 bangunan pejabat itu sekitar jam 8.30 pagi tadi.


Sehingga jam 12 tengah hari ini, anggota-anggota bomba dan penyelamat sedang bertungkus lumus berusaha mengeluarkan asap tebal yang menyelubungi seluruh ruang tingkat 1 hingga ke tingkat bawah bangunan pejabat itu, sekali gus menghalang kakitangan dan sesiapa sahaja memasukinya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Bagaimanapun, kebakaran tersebut sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan berjaya dikawal dari merebak ke seluruh bangunan sejak hampir jam 9 pagi tadi oleh anggota-anggota bomba dari Balai Bomba Chaw Kit dan Sentul yang bergegas ke tempat kejadian dengan dua buah keretanya, sekitar 15 minit setelah dihubungi.

Seorang kakitangan Pejabat Agung PAS yang juga Pegawai Pendaftar Pertubuhan, Taufik Ramli ketika ditemui di tempat kejadian menjelaskan, kebakaran tersebut berlaku di tingkat satu di tempat beliau bertugas yang menempatkan bahagian pentadbiran pejabat itu sekitar jam 8.30 pagi, 10 minit setelah beliau tiba di pejabat.

Ketika itu, di tingkat tersebut turut terdapat 4 orang rakan-rakan sekerjanya yang lain. Secara tiba-tiba, beliau dan rakan-rakannya yang lain terdengar bunyi letupan di bahagian dapur di tingkat itu.

“Kami bergegas menuju ke ruang dapur di tempat bunyi letupan itu. Sebaik pintu ruangan dapur itu dibuka, kami melihat percikan api pada soket-soket yang berada di kawasan itu lalu diiringi asap yang berkepul-kepul.

“Saya segera turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan alat pemadam api. Tetapi sebaik sahaja saya tiba di tempat kejadian dan membuka penutup alat itu untuk digunakan, asap dan api sudah semakin menebal dan marak menyebabkan saya dan rakan-rakan yang lain sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi, melainkan turun dan keluar dengan segera ke luar bangunan untuk menyelamatkan diri,” jelasnya.

Pengawal keselamatan di pejabat itu yang juga orang yang paling awal mengesan kejadian tersebut, Meor Shamsul Mat Isa menjelaskan, beliau menyedari kejadian itu sebaik tiba di tingkat 1 untuk melaksanakan suatu urusan.

“Saya naik ke tingkat 1 sekitar jam 8.30 pagi. Sebaik saya tiba, saya terdengar satu letupan dan dari pengamatan saya, letupan itu berlaku di dapur. Selepas itu saya nampak api menyala lalu terus marak, sehingga memaksa kami keluar beramai-ramai dari bangunan untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Manakala rakannya, Mohd Sharbi Kamarulzaman, Pembantu Tadbir di bahagian pentadbiran pejabat itu pula menjelaskan, sebelum mereka ke luar dari bangunan itu, mereka terlebih dahulu memaklumkan kejadian itu kepada rakan-rakan sekerja yang lain yang berada di semua tingkat bangunan itu untuk sama-sama menyelamatkan diri.

“Kejadian ini merupakan kejadian yang pertama berlaku di pejabat kami. Walaupun ia hanya kebakaran kecil kerana berjaya dipadamkan dengan segera oleh anggota bomba, tetapi ia meninggalkan kesan buruk kepada kami. Ia amat menyedihkan, tetapi kami terpaksa menerimanya dengan redha,” ujar beliau.

Kesedihan kakitangan di pejabat itu turut diluahkan oleh rakan-rakannya yang lain kerana kejadian itu bukan sekadar mengganggu urusan pentadbiran pejabat tersebut, tetapi juga berlaku ketika PAS sedang bertarung di DUN Galas hari ini.

Pegawai bomba yang ditemui pula menjelaskan, punca sebenar kejadian belum dapat dipastikan. Segalanya akan dianalisa dengan teliti terlebih dahulu sebelum dimaklumkan. Begitu juga dengan jumlah kerugian yang juga belum dapat dipastikan lagi.

Namun sehingga jam 1 tengah hari ini, kesemua kakitangan di pejabat itu masih belum dibenarkan memasuki pejabat tersebut bagi mengelakkan sesak nafas.

Anggota-anggota bomba dan penyelamat juga masih belum dapat memastikan bila asap itu berjaya dikelurkan sepenuhnya dari seluruh bangunan itu.

Bangunan Pejabat Agung PAS itu mula diduduki pada tahun 2007. Bangunan itu secara asasnya dibeli dengan harga RM6.1 juta yang asalnya dimiliki oleh Kwong Yik Bank dan kemudiannya dibeli oleh 'merger bank' iaitu Rashid Hussin Bank (RHB) Berhad.

Oleh kerana bangunan itu (selepas dimiliki oleh RHB) adalah bangunan pangkalan data bagi bank tersebut, struktur pejabatnya terpaksa diubah selepas PAS memilikinya. Akhirnya selepas pengubahsuaian membabitkan kos bernilai RM1.9 juta, kos keseluruhannya mencecah RM8 juta.

Bangunan itu menempatkan pejabat pentadbiran yang terletak di tingkat 1, surau di tingkat menzanie, kedai sebbaneka di tingkat bawah serta bilik mesyuarat utama di tingkat 5.

No comments:

Post a Comment